Zulkifli
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan Vietnam yang menjalankan kegiatan menangkap ikan secara haram dekat Pulau Aur dan perairan Tanjung Sedili, dalam Op Pagar Laut, pagi semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, operasi pertama membabitkan penahanan dua bot nelayan asing di kedudukan 17 batu nautika Timur Laut Pulau Aur, Mersing pada jam 10.20 pagi.

"Manakala sebuah lagi bot ditahan KM Tegas di Tanjung Sedili pada jam 12.15 tengah hari selepas mengesyaki kehadiran bot itu dengan nombor pendaftaran mencurigakan di posisi 24 batu nautika Timur Laut Tanjung Sedili," katanya pada sidang media di atas kapal KM Pekan di perairan Tanjung Sedili semalam.

Terdahulu beliau melawat operasi KM Pekan di Perairan Tanjung Sedili sempena Majlis Berbuka Puasa APMM Bersama Media dan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Katanya, semua bot berkenaan ditahan selepas dipercayai menangkap ikan tanpa permit di Perairan Perikanan Malaysia.

Katanya, seramai 31 awak-awak termasuk tekong berusia 18 hingga 41 tahun ditahan bersama hasil tangkapan ikan seberat 1,400 kilogram pelbagai ikan jenis campur.

"Ketiga-tiga buah bot nelayan asing ini ditahan dan diiringi masuk ke APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut kerana melanggar Akta Perikanan 1985.

"Semua tangkapan ini adalah hasil maklumat yang diberikan orang ramai prihatin mengenai keselamatan perairan Malaysia," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus berusaha bagi memastikan Indeks Jenayah Maritim terutama pencerobohan bot nelayan asing dapat dikurangkan pada masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 4:35 PM