DR Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan kepada Mun Megat Sham, 57, pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang di Dewan Serbaguna JKKK Pekan Hutan Melintang.

Bagan Datuk: Umat Islam di negara ini disarankan supaya tidak hanya membaca al-Quran ketika Ramadan saja sebaliknya dibaca dan dihayati kandungannya sepanjang masa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, membaca dan menghayati kandungan al-Quran harus menjadi amalan seisi keluarga kerana kitab itu adalah panduan kehidupan yang tidak pernah berubah sejak ia diwahyukan sehingga sekarang.

“Bukan hanya membaca al-Quran, tetapi kita sebagai orang Islam harus menghayati kandungannya, bukan hanya memahami tafsirnya tetapi memahami ‘asbabun nuzul’ (sebab sesuatu ayat al-Quran diturunkan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Tadarus al-Quran Perdana Sempena Ramadan 1438H/2017M Kawasan Parlimen Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk, di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya turut menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan itu.

Beliau berkata, amalan umat Islam yang membaca al-Quran setiap kali Ramadan harus diamalkan pada bulan hijrah lain sekurang-kurangnya sehelai lembaran sehari walau sesibuk mana kehidupan sekalipun, pengalamannya membaca satu juzuk al-Quran biasanya tidak mengambil masa lebih sejam.

Katanya, tiada negara Islam lain yang memberi cuti umum bagi meraikan Nuzul Quran, hanya beberapa negeri di Malaysia yang berbuat demikian.

“Cuti yang diberi ini bukan untuk shopping (membeli-belah), tetapi lebih baik beri tumpuan kepada tadarus dan menghayati al-Quran,” katanya.

Seramai 1,423 penduduk terdiri daripada pelbagai peringkat usia sekitar Parlimen Bagan Datuk menyertai program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 6:45 AM