LOKASI mangsa cuba menyeberang sungai sebelum dihanyutkan arus. FOTO ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


LELAKI yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang sungai Kampung Lingga, Kiulu, malam tadi, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Emanuil Sibin, 38, ditemui penduduk kampung yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan bomba, 1.57 pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.33 malam tadi mengatakan seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyeberang sungai.

"Susulan itu, pasukan bomba menjalankan operasi SAR di sepanjang tepi sungai. Bot tidak dapat digunakan kerana arus deras dan sungai berbatu.

"Pada 1.57 pagi, mangsa ditemui oleh orang awam dan seterusnnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi tamat pada 2.05 pagi. Operasi SAR itu membabitkan tiga anggota bomba dan dibantu penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 10:57 AM