DR Zamihan
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWAJA) menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan yang cuba menyeleweng akidah dan syariat Islam di negara ini.

Presidennya Dr Zamihan Mat Zin berkata, kenyataan terbaru aktivis liberal Zainah Anwar mendakwa ‘keizinan wali’ untuk bernikah diambil dari zaman jahiliah dan wanita yang ingin berkahwin tidak memerlukan wali jelas bertentangan dengan Islam.

“Kenyataan itu bukan saja biadab dan jahil malah ia jelas bercanggah dan memperlekeh syariat Islam yang menetapkan keperluan kepada keizinan wali melalui dalil al-Quran dan hadis.

“Sebelum ini, seorang peguam liberal, Siti Kassim juga mendakwa Allah terhasil melalui getaran.

“Perbuatan ini jelas melanggar batasan akidah dan menghina syariah Islam malah boleh mengakibatkan mereka menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainah yang juga antara pengasas Sisters in Islam (SIS) sebelum ini berkata demikian pada Kongres Ulama Perempuan Indonesia (KUPI) di Kota Cirebon, Indonesia, baru-baru ini yang mengumpulkan lebih 252 wakil seluruh negara.

Zamihan berkata, pihaknya mendesak polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menangkap dan mendakwa mereka ke muka pengadilan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keresahan awam dan mengganggu ketenteraman umat Islam serta menghina agama.

“Hal ini penting supaya akidah dan syariat Islam sentiasa terpelihara daripada permainan pemikiran jahat dan hati busuk makhluk perosak agama.

“ASWAJA bimbang jika individu atau kumpulan sebegini tidak dikenakan tindakan sepatutnya, ia bukan saja akan meruntuhkan akidah dan syariat Islam, malah akan menimbulkan provokasi, keganasan persepsi dan mewujudkan tindakan ekstrem daripada kumpulan tertentu ke atas mereka yang akhirnya menggugat kehidupan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih ditakuti ialah kemungkinan Malaysia terdedah kepada bala dan kemurkaan Allah SWT apabila unsur kesesatan bermaharajalela.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:17 AM