MOHAMAD Ismail menyerahkan sumbangan berbuka puasa kepada pengguna jalan raya. FOTO Aizat Sharif
MOHAMAD Ismail menyerahkan sumbangan berbuka puasa kepada anggota AKSEM. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


AKTA Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang dirangka sejak tahun lalu dijangka mula dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

Ketua Pengarah AKSEM, Datuk Mohamad Ismail berkata, akta berkenaan yang memperkasa penguatkuasaan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sudah pun dibentangkan dan dibacakan untuk kali pertamanya di Parlimen pada April lalu.

“Akta ini sudah pun diperincikan dan akan menjalani bacaan kedua untuk dibahaskan pada persidangan di Parlimen pada bulan hadapan.

“Sekiranya tiada sebarang kekangan dari mana-mana pihak, kita jangka ia dapat digazetkan dan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Sekatan Jalan Raya AKSEM Chuping, Padang Besar sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan bersama Ketua Pengarah AKSEM, hari ini.

Tambahnya lagi, buat masa ini, kuasa AKSEM hanya terhad kepada pemantauan dan penangkapan suspek yang terbabit dengan jenayah rentas sempadan sahaja manakala siasatan dan pendakwaan akan diserahkan kepada agensi atau penguatkuasa keselamatan yang lain.

“Sebagai contoh, suspek yang ditahan atas kesalahan menyeludup barang akan diserahkan kepada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Oleh hal demikian, dengan wujudkan Akta AKSEM ini, segala tangkapan atau penahanan suspek akan dituruti dengan siasatan dan pendakwaan di mahkamah melalui pihak AKSEM sendiri,” katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kewujudan akta berkenaan hanya akan mengakibatkan pertindihan kuasa serta undang-undang berlaku.

“Isu pertindihan kuasa serta undang-undang ini tidak wujud pun kerana setiap agensi lain memainkan peranan serta undang-undang yang berbeza dan kita bertindak sebagai koordinator kepada akta ini disebabkan AKSEM sendiri tergabung dengan pelbagai agensi seperti Imigresen, Kastam dan juga polis.

“Jadi, akta yang wujud ini akan mengikut garis panduan yang sedia ada dengan AKSEM,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, kerajaan akan mewujudkan akta khusus untuk AKSEM bagi memperkasa penguatkuasaan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Akta baru itu akan membolehkan AKSEM bergerak dengan lebih berkesan berbanding buat sementara ini beroperasi secara pentadbiran berlandaskan kuasa arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pix: Aizat Sharif

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 11:26 AM