SEORANG pengemis warga asing menagih simpati.
PENGUNJUNG menghulurkan sedekah kepada pengemis.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seperti sudah menjadi lumrah, setiap kali Ramadan jumlah kumpulan pengemis warga asing di lokasi tumpuan umat Islam khususnya bazar Ramadan tiba-tiba meningkat malah seperti tidak terkawal jumlahnya.

Semuanya kerana mereka tahu sepanjang bulan itulah dianggap ‘lubuk rezeki’ kerana lebih mudah menagih simpati masyarakat Islam yang akan melipatgandakan amalan bersedekah.

Tinjauan di bazar Ramadan Jalan Suasa 2 Pekan Sungai Besi, di sini, antaranya mendapati pelbagai aksi golongan itu bagi meraih simpati seperti memakai pakaian lusuh, berbalut tangan, menggunakan tongkat serta membawa kanak-kanak yang masih kecil.

Namun apa yang menimbulkan rasa kurang senang terutama dalam kalangan peniaga bazar Ramadan selain pengunjung adalah hampir semua mereka warga asing yang dipercayai dihantar sindiket untuk melakukan ‘tugas’ itu.

Tinjauan mendapati, sekurang-kurangnya ada lima kumpulan pengemis di sepanjang laluan bazar Ramadan berkenaan yang mempunyai 140 tapak peniaga.

Seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang duduk di atas jalan tar tanpa alas bersama empat kanak-kanak, iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara dua hingga lapan tahun antara kumpulan pengemis paling ‘popular’ di bazar berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian, sekurang-kurangnya tiga daripada 10 pengunjung yang lalu di hadapannya akan menghulurkan RM1 hingga RM4 kepada setiap kanak-kanak berkenaan yang akan menyapa dengan memberi salam kepada sesiapa saja yang melintas di hadapan mereka.

Wanita dan kanak-kanak perempuan itu memakai baju kurung dan bertudung manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar tujuh tahun pula mengenakan baju Melayu lengkap berkopiah menunjukkan mereka adalah keluarga Muslim.

Usaha wartawan untuk mendapatkan maklumat sukar kerana wanita yang mendakwa ibu kepada kanak-kanak berkenaan tidak fasih berbahasa Melayu dan hanya mengakui dia adalah etnik Rohingya, Myanmar.

Bagaimanapun, selepas menyedari lensa kamera merakam gelagat mereka, kumpulan pengemis itu tiba-tiba menghilangkan diri dipercayai bimbang tindakan mereka dihidu pihak berkuasa.

Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Sungai Besi, Ibrahim Ismail berkata, semua pengemis di bazar berkenaan adalah warganegara Myanmar dan pihak persatuan pernah melarang mereka daripada mengemis di situ.

“Kadang-kadang kami serba salah kerana apabila ditegur, pengunjung pula pandang sinis seolah-olah kami tidak ada perikemanusiaan.

“Sedangkan kita tidak tahu mungkin mereka dihantar sindiket tertentu kerana ‘skrip’ jawapan yang diberikan setiap mereka sama saja seperti sudah dilatih untuk menjawab soalan.

“Kami tidak melarang umat Islam untuk bersedekah, tetapi sebagai penganjur bazar kami juga terikat dengan undang-undang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mungkin kehilangan deposit penganjur sebanyak RM6,000,” katanya.

Sementara itu, pengunjung Suryati Che Wil, 30, berkata, pihak berkuasa berkenaan perlu memantau perkara itu yang semakin berleluasa malah seperti sudah tidak terkawal terutama di bazar Ramadan.

“Bukan saya tidak bersedekah, tetapi apabila terserempak dengan terlalu ramai pengemis membabitkan warga asing timbul pula persoalan lain seperti adalah mereka benar-benar susah atau mengambil kesempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:50 AM