Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


LELAKI berusia 33 tahun cedera di kedua-dua belah lutut selepas ditembak individu dikenali di sekitar sempadan Malaysia-Thailand jam 6.30 petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa Mohammad Zain Mohamed kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu untuk rawatan lanjut .

Mangsa yang berasal dari Kampung Telaga Lanas, Tumpat dilaporkan stabil.

Kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Sue, 38, berkata, dia difahamkan adiknya ke lokasi kejadian itu dengan menunggang motosikal sendirian untuk bertemu rakannya.

"Adik saya beritahu sebelum kejadian dia bertemu rakannya di lokasi kejadian sebelum secara tiba-tiba dia ditembak dari belakang yang terkena pada kedua-dua belah lututnya.

"Dia sempat hubungi sepupunya yang tinggal di kawasan berhampiran untuk bantuan sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut.

"Jam 12 tengah malam tadi, adik saya dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di HRPZII, tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:39 PM
Skip this ad x