Kotak Rezeki untuk diserahkan kepada 100 penerima terdiri daripada ibu tunggal, asnaf dan OKU.
Rudy Fazrunisyam Samarudin
rudy@hmetro.com.my


Iskandar Puteri: Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) sempena Ramadan tahun ini tidak pernah melupakan golongan ibu tunggal, asnaf dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan.

Buktinya, 100 kotak yang mengandungi barang makanan dan keperluan dapur selari dengan program #HMKotakRezeki2017 yang dilaksanakan ketika ini akan diagihkan kepada golongan berkenaan, Sabtu ini di Masjid Al-Irsyad, Desa Paya Mengkuang di sini.

Pengerusi TKHM Othman Mamat berkata, senarai penerima Kotak Rezeki berkenaan terdiri daripada mereka yang layak dari Desa Paya Mengkuang, Kampung Tiram Duku, Kampung Kajang, Tanjung Adang, Tanjung Pelepas, Kampung Pok dan Kampung Ladang.

Katanya, penerima adalah seperti yang dikemukakan setiap ketua kampung berkenaan mengikut senarai yang ada dalam simpanan mereka dan menepati ciri-ciri penerima bantuan.

“Kotak Rezeki mengandungi beras, minyak masak, gula, sardin, biskut serta beberapa barangan keperluan lain yang dapat dimanfaatkan penerima untuk kegunaan dapur.

“Selain menyampaikan kotak rezeki di Masjid Al-Irsyad, kami juga akan mengunjungi beberapa keluarga yang dikenal pasti untuk menyerahkan sumbangan itu terutama bagi penerima OKU dan uzur,” katanya.

#HMKotakRezeki2017 dijayakan dengan kerjasama Affin Islamic Bank, Watsons Malaysia, Poslaju, Pasaraya Besar Giant, Yayasan Kesejahteraan Bandar, Richwell, Lifebuoy, Massimo by the Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Quaker.

TKHM adalah program yang dekat di hati masyarakat sejak 10 tahun lalu termasuk pada Ramadan kerana ia mengenal pasti golongan kurang bernasib baik untuk diraikan supaya mereka tidak terkecuali merasakan kenikmatan Aidilfitri.

Kali ini, 300 insan kurang bernasib baik termasuk anak yatim, asnaf dan ibu tunggal di Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah yang terletak 34 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru terpilih sebagai tetamu TKHM yang akan diadakan dua hari mulai hari ini di Masjid Al-Irsyad.

TKHM kali ini yang menyaksikan Forest City sebagai penaja utama meraikan 200 anak yatim selain 50 ibu tunggal dan 50 asnaf dari sekitar Mukim Tanjung Kupang untuk dibantu.

Hari pertama program, rombongan 200 anak yatim berusia lima hingga 17 tahun akan dibawa membeli-belah di Commercial Street, Forest City dan Pasaraya Giant Tampoi bagi membeli pelbagai barangan kelengkapan Aidilfitri.

Esok, program bermula jam 7.30 pagi di pekarangan masjid termasuk majlis penyembelihan dan melapah lembu serta rewang bagi menyediakan hidangan berbuka puasa di masjid berkenaan.

Pada 10 pagi akan menyaksikan penganjuran pertandingan mewarna dan kelas tuisyen untuk anak yatim dan anak kariah masjid manakala sukarelawan TKHM dan penduduk kampung termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pula akan bergotong-royong memasak juadah berbuka puasa.

Pada jam 3 petang hingga 5 petang akan menyaksikan kunjungan TKHM ke kediaman keluarga asnaf dan Bazar Ramadan berhampiran untuk menyampaikan #HMKotakRezeki2017.

Pada jam 5 petang, majlis penyampaian bantuan, pakaian dan duit raya kepada anak yatim, daif dan ibu tunggal akan diadakan di pekarangan masjid sebelum mereka dihidangkan dengan jamuan makan berdulang pada waktu berbuka puasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:36 AM