Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Alor Gajah: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah situasi dihadapi seorang pemandu lori kontena yang terselamat selepas kenderaan berat dikendalikannya itu terjunam dari jejambat setinggi 12 meter.

Dalam kejadian di KM 209.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, jam 4.30 pagi semalam pemandu berkenaan dilaporkan hanya cedera ringan.

Terdahulu, sebelum kejadian, mangsa Khairul Hisham Amat Jabrut, 38, dari Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor melanggar belakang sebuah lori yang ketika itu berada di lorong kecemasan.

Akibat perlanggaran itu, kenderaan dipandu mangsa merempuh besi penghadang lalu terjunam dari jejambat berkenaan ke Jalan Jalatang.

Saksi kejadian yang juga kelindan lori dilanggar itu R Prakash, 43, berkata, ketika kejadian dia menemani pemandu dari Sungai Petani, Kedah untuk menghantar pelbagai barangan termasuk keranda ke Singapura.

“Pemandu memberhentikan lori di lorong kecemasan untuk memeriksa tayar. Ketika memeriksa tayar sebelah kiri depan lori tiba-tiba kenderaan kami bergegar.

“Saya berlari ke bahu jalan kerana risau berlaku perkara buruk. Dalam keadaan cemas itu saya lihat lori kontena berkenaan menjunam dari jambatan ke laluan di bawah.

“Namun, pemandunya bernasib baik kerana dia tidak cedera parah walaupun lori berkenaan rosak teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, mengikut laporan diterima pemandu lori kontena terbabit hanya mengalami luka ringan dan dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

“Kenderaan dipandu mangsa yang terjunam dari jejambat melintangi Jalan Jelatang sebelum dialihkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 6:07 AM
KEADAAN kontena melintangi Jalan Jelatang.