Sebahagian PATI yang ditahan dalam empat serbuan di kawasan Hutan Pantai, Sungai Rengit, Kota Tinggi. FOTO ihsan Polis Marin
Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk dan keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan di sekitar Hutan Pantai, Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor, bermula 9 malam semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua 21 lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 55 tahun ditahan dalam empat serbuan berbeza di kawasan berhampiran berakhir 4 pagi tadi.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di kawasan Hutan Pantai Sungai Rengit, sepasukan polis menemui dua lelaki dan seorang wanita bersembunyi kawasan belukar.

"Mereka mendakwa baru mendarat dari Pulau Batam menggunakan bot pancung dan menunggu rakan lain.

“Dalam serbuan kedua, ketiga dan keempat di kawasan berhampiran, pasukan kami berjaya menahan 19 lelaki dan seorang wanita bersembunyi di kawasan belukar.

"Mereka mengaku bersembunyi di kawasan itu sejak tiga hari lalu kerana menunggu bot pancung," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, semua PATI itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, berada di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan dan keluar masuk menggunakan jalan tidak diwartakan.

Katanya, semua suspek dibawa ke balai polis Sungai Rengit bagi membantu siasatan.

"Seperti sebelum ini, jumlah PATI yang pulang ke negara asal meningkat menjelang perayaan.

"Berikutan itu, PPM akan meneruskan risikan dan operasi untuk mengesan dalang serta tekong yang menguruskan penyeludupan PATI melalui jalan tidak sah.

"Kita menggesa masyarakat bekerjasama dan memberikan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 5:13 PM