Ahmad Amri (kanan) menunjukkan mercun yang berjaya dirampas pihaknya dalam satu serbuan di pengkalan haram dekat Kampung Derdap, Tumpat. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor menumpaskan cubaan menyeludup mercun dalam satu serbuan di pengkalan haram di Kampung Derdap, Tumpat, malam tadi.

Bertindak atas maklumat orang awam, PPM Pengkalan Kubor melakukan serbuan pada 9.30 malam selepas intipan selama dua jam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Ab Rahman berkata, ketika serbuan dilakukan, sekumpulan lelaki sedang leka memunggah mercun dari bot ke dalam sebuah kenderaan yang menunggu di tebing.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri menaiki bot ke Thailand.

"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun berada di dalam Proton Iswara Aeroback.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,000 dan semua barang terbabit dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor," katanya, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 3:27 PM