Bagan Serai: “Ketika pulang dari kerja, saya terkejut melihat Adawiyah berada di tepi parit sambil memanggil-manggil nama kembarnya, Adam dan sebaik dimaklumkan Adam jatuh ke dalam parit menyebabkan saya bersama abang terjun untuk mencarinya di dasar parit itu.”

Begitu kata Mohd Fazli Mustafa, 39, bapa saudara kepada murid tahun satu Sekolah Rendah Islam Intergrasi Pintar El Khawarizmi, Puchong, Selangor Adam Ibrahim, 7, yang ditemui lemas di dalam parit di Kampung Parit Ali Kalang, di sini, jam 5.30 petang kelmarin.

Mohd Fazli berkata, dia menemui mangsa 30 meter dari lokasi anak saudaranya didakwa terjatuh sebelum dibawa arus, selain turut mendapati sepasang seliparnya dan penyauk ikan terapung di dalam parit itu.

“Sebaik ditemui, kami segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Telok Medan, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, mangsa anak ketujuh daripada lapan beradik itu hanya tinggal dengan kembarnya dan seorang abangnya berusia 10 tahun berikutan ibu bapa mereka menjaga adik bongsu mereka berusia tiga tahun di sebuah hospital swasta di Taiping.

“Mangsa bercuti di rumah datuk mereka sepanjang cuti persekolahan sejak 1 Jun lalu. Difahamkan, ketika kejadian berlaku, abang mangsa berada di dalam rumah manakala Adam bersama kembarnya keluar menyauk ikan di tepi parit.

“Pada masa sama, ibu bapa mereka berada di sebuah hospital swasta di Taiping kerana menjaga seorang adik yang menjalani pembedahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, kesedihan keluarga berkenaan mendapat perhatian Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang menziarahi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 5:44 AM