Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusof (dua dari kanan) ketika melawat bazar Ramadan pekan Simpang Kuala, Alor Setar, semalam. - Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PERSATUAN pengguna Kedah (CAKE) menerima lebih 100 rungutan daripada orang ramai mendakwa membeli makanan basi, kuantiti sedikit dan harga mahal di bazar Ramadan di negeri itu.

Setiausahanya, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, walaupun tiada aduan dibuat setakat ini namun pihaknya menerima rungutan itu melalui laman sosial Facebook CAKE mengenai ketidakpuasan pengguna.

“Tahun lalu, kami menerima enam aduan daripada pengguna mendakwa sakit perut, cirit birit, muntah dan makanan mengandungi bendasing seperti ulat dan serangga selepas membelinya di bazar Ramadan.

“Namun siasatan kita di bazar Ramadan yang dinyatakan, peniaga terbabit tidak mengaku makanan itu dibeli di gerai mereka menyebabkan kita sukar mengambil tindakan lanjut," katanya ketika melakukan lawatan di bazar Ramadan Simpang Kuala, petang semalam.

Sehubungan itu, CAKE mencadangkan semua peniaga bazar Ramadan menyediakan resit atau pelekat pada bungkusan makanan menyatakan butiran perniagaan mereka bagi memudahkan tindakan diambil jika pengguna membuat aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 11:23 AM