Kereta Proton Iriz curi yang dinaiki dua suspek.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


POLIS terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar bahagian pemandu Proton Iriz selepas dua lelaki melanggar kereta Proton Waja polis di sebuah stesen minyak di Kampung Merbau Kudung, Sik, semalam.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, dua lelaki yang berada dalam kereta yang dicuri itu berjaya ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda mengesan kereta curi itu yang dilaporkan hilang di Bedong pada 3 April lalu.

Menurutnya, polis yang menemui suspek di sebuah stesen minyak, memperkenalkan diri namun lelaki terbabit mengundur kereta dan melanggar Proton Waja milik polis menyebabkan tiga das tembakan dilepaskan ke arah tayar.

“Kedua-dua suspek berusia 22 dan 16 tahun itu kemudian ditahan dan polis merampas sebilah parang panjang, pisau dan sejumlah dadah jenis heroin.

"Siasatan mendapati suspek berusia 22 tahun memiliki rekod jenayah lampau memiliki motosikal curi dan menipu," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 186 KK, Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya dan Seksyen serta 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 11:24 AM