M Saedon (dua dari kanan) menunjukkan promosi ikan segar beku Q’Fish di Pasar Tani Stadium Shah Alam, semalam.
Nur Izzati Izzah Nadzi
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Sembilan jenis ikan termasuk kembung kini boleh didapati dengan harga serendah RM8.50 bagi satu kilogram (kg) berbanding harga pasaran di pasar tani seluruh negara.

Ia ditawarkan menerusi program Q’Fish yang menjual ikan sejuk beku berkualiti dengan harga berpatutan kepada pengguna.

Ikan yang dibekal dan dipasarkan Persatuan Nelayan Kebangsaan itu boleh didapati di Kedai Rakyat 1Malaysia dan MyFarm Outlet, Putrajaya dengan harga tidak melebihi RM10 satu kg.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
M Saedon Ab Majid berkata, impak penjualan ikan termasuk kembung mencatatkan peningkatan sehingga 25 peratus pada musim perayaan.

“Menerusi Q’Fish, pengguna boleh mendapatkan ikan seperti kembung, selar, pelaling, cencaru, tilapia, keli dan aya dengan harga murah namun berkualiti sama seperti harga ikan segar.

“Ia akan diperluaskan ke semua negeri secara jualan terus kepada pengguna di lokasi atau pasar tani terpilih dalam tempoh terdekat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga dan promosi Q’Fish di Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini, semalam.

Menurut M Saedon, LKIM akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan bekalan ikan mencukupi dan tidak membebankan pengguna.

“Stok simpanan ikan segar sejuk beku sedia ada dan dibeku satu persatu itu mampu menampung bekalan bagi kawasan tengah, selatan, utara dan pantai timur Semenanjung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 9:30 AM