REHMAN.
Amrullah Abdul Karim
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Kuala Kubu Bharu: “Pemergian beliau kehilangan besar kepada keluarga namun segalanya diterima dengan reda kerana arwah dijemput Ilahi di bulan yang mulia dan penuh rahmat,” kata Rafique Rashid, 59, adik kepada wartawan veteran yang juga penulis, Allahyarham Rehman Rashid, 62.

Jenazah bekas Pengarang Bersekutu New Straits Times (NST) itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kubu Bharu, di sini, jam 2.30 petang semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Masjid Jamek Ar Rahimah untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur.

Rafique berkata, arwah disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang (HS) akibat komplikasi jantung dan radang paru-paru, jam 6.30 pagi semalam.

“Abang saya mula diserang penyakit jantung sejak Januari lalu ketika melakukan aktiviti berbasikal dari rumahnya di Kuala Kubu Bharu ke Rawang.

“Selepas satu kilometer berkayuh, dia rebah dari basikal sebelum diselamatkan orang awam yang melalui kawasan itu lalu dibawa ke HS,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.

Menurutnya, keadaan Allahyarham kemudian dilihat bertambah baik namun tiba-tiba tidak sedarkan diri, jam 4 pagi semalam.

Allahyarham Rehman yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 1955 itu mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian di University College Swansea, Wales.

Selain pernah bertugas dengan Asiaweek di Hong Kong, beliau adalah penerima anugerah Wartawan Terbaik 1985 Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Beliau turut menghasilkan beberapa buku seperti Small Town in 2016, Pangkor: Treasure of the Straits dan Peninsula: A Story of Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:54 AM