Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


PEKERJA kedai runcit diberkas selepas melakukan samun bersenjatakan pistol di restoran makanan segera di Bandar Seri Putra Bangi, Kajang.

Ketua Polis Kajang, ACP Othman Nanyan, berkata suspek lelaki berusia 31 tahun melakukan jenayah itu pada kira-kira 6 pagi, Sabtu.

Katanya, suspek kemudian ditahan di Kawasan Perindustrian Arab-Malaysian, Nilai, kira-kira 8 pagi, pada hari sama.

Katanya, dia ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang dengan kerjasama Balai Polis Bangi.

“Siasatan mendapati suspek memakai topi keledar memasuki restoran itu dan mengacukan objek menyerupai pistol hitam kepada pekerja premis.

“Dia melakukan samun dan melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi.

"Polis turut merampas senjata menyerupai pistol, Perodua Myvi disyaki digunakan ketika kejadian dan barang hasil samun.

"Hasil soal siasat dilakukan suspek mengaku melakukan samun bersama rakannya yang masih bebas," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan, esok, bagi siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Siasatan juga sedang dilakukan bagi mengesan rakan suspek terbabit bagi siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 11:57 PM