Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Sembunyi dadah dalam bungkusan teh Cina dan pembesar suara. Itu taktik dilakukan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, semuanya terbongkar apabila polis merampas dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbabit selepas membuat lima serbuan di sekitar negeri ini, Rabu lalu.

Dalam serbuan antara jam 5.45 petang hingga 10.15 malam, polis menahan enam lelaki tempatan termasuk dalang sindiket di kawasan awam dan dua rumah di daerah Seberang Prai Utara dan Seberang Prai Selatan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, jumlah dadah dirampas itu bernilai RM1.63 juta.

“Kami rampas 21 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina, 7,800 pil eramin 5 dan 18 gram ganja.

“Jumlah dadah yang dirampas itu dipercayai boleh menampung kegunaan 100,000 penagih.

“Paling penting, kami bukan saja mematahkan sindiket pengedaran dadah ke negara ini, tetapi menyelamatkan 100,000 penagih yang akan menggunakannya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, sindiket itu dipercayai membawa masuk dadah dari luar negara iaitu dari kawasan segi tiga emas dipercayai bagi pasaran negara ini dan Indonesia.

Beliau berkata, pihaknya menyita pelbagai barangan anggota sindiket itu yang keseluruhannya bernilai RM276,000.

“Kami merampas wang tunai RM9,444, selain barang kemas seperti empat cincin, tiga keping emas serta masing-masing seutas gelang tangan dan rantai leher.

“Lima kenderaan disita iaitu Mercedes-Benz C200 dan Toyota Camry, motosikal BMW R1200, Naza Blade 650R serta Benelli TNT600,” katanya.

Zulkifli berkata, semua suspek berusia 21 hingga 45 tahun yang memiliki rekod jenayah lampau direman tujuh hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:29 AM