NAJIB diiringi Mohamad (dua dari kiri) melancarkan LJK8, semalam.
NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada majlis pelancaran LJK8 di Masjid Kariah Paroi Jaya, semalam.
Alias Abd RaniKhairul Najib Asarullah Khan dan Kamariah Samir dan Ayshah Jamaluddin
am@hmetro.com.my


Seremban: Ramadan kali ini membawa berita gembira buat penduduk di 433 kampung di Negeri Sembilan apabila Kerajaan Pusat menerusi Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) akan memasang 4,337 unit lampu jalan di kawasan penempatan mereka.

Projek LJK8 ini adalah program di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar dan lebih manisnya ia dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perasmian itu disempurnakan Najib di Masjid Taman Paroi Jaya di sini dan disaksikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Ir Azman Mohd, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek serta 3,000 hadirin.

Projek yang menelan belanja RM3.4 juta akan dilaksanakan oleh TNB.

Melalui projek LJK8 ini, sebanyak 337 unit lampu jenis diod pancaran cahaya (LED) akan dipasang di negeri ini, manakala selebihnya adalah lampu jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV).

Pelaksanaan projek itu membolehkan pergerakan penduduk kampung menjadi lebih selesa dan selamat apabila kawasan yang dahulunya gelap ketika malam atau dinihari, terang disinari cahaya lampu jalan.

Bagi projek LJK8 ini, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk menyediakan 111,833 unit lampu jalan di kampung-kampung di seluruh negara, yang mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,333 unit adalah lampu jenis LED manakala selebihnya ialah jenis HPSV. Dalam fasa satu hingga fasa tujuh LJK yang bermula sejak 2003, sebanyak 300,000 unit lampu jalan kampung telah dipasang di seluruh negara dengan kos RM150 juta, dengan 18,300 unit telah dipasang di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Ujong Pasir, Seremban Johari Shafie berkata, terdapat banyak tiang lampu jalan di kampungnya namun tidak semua berfungsi.

“Jarak antara lampu yang menyala agak jauh membuatkan saya terpaksa memohon kepada pihak berkaitan pada awal tahun ini.

“Alhamdullillah, dengan kelulusan penambahan lampu jalan ini, ia amat menggembirakan penduduk kampung dan kanak-kanak juga dapat bermain basikal pada waktu malam.

“Sebelum ini, ibu bapa turut risau berhubung keselamatan anak-anak mereka disebabkan kawasan kampung agak gelap berikutan kurang lampu jalan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Mendom, Lenggeng, Abu Bakar Jais berkata, sebelum ini kawasan kampungnya sudah menerima sebanyak 30 tiang lampu jalan sumbangan TNB namun ia sudah terlalu lama.

“Dengan pernambahan lampu jalan baharu ini, ia dapat memudahkan penduduk terutama yang sudah berusia untuk ke surau dan sebagainya.

“Terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap penduduk pedalaman seperti kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:18 AM