Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak yatim, fakir miskin dan saudara baru di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1438H kepada Fakir, Miskin dan Saudara Kita serta Perasmian Masjid di Masjid An Nur Glenmarie. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


“ÁHLI Parlimen Subang, R Sivarasa, you have crossed the line!” (Anda sudah melampaui batasan)

Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap wakil rakyat PKR itu kerana berucap di dalam Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, Rabu minggu lalu.

Baginda bertitah, tindakan Sivarasa itu melampaui batas dan menyebabkan baginda dukacita kerana sudah berulang kali bertitah sebelum ini supaya masjid tidak dijadikan tempat berpolitik.

Titah baginda, larangan itu juga termaktub kepada ahli politik beragama Islam dan bukan Islam.

"Beta tidak membenarkan ahli politik berceramah atau berucap di dalam masjid adalah kerana beta tidak mahu ia menjadi punca kepada perpecahan umat Islam. Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, you have crossed the line!

"Jikalau Ahli Parlimen Subang itu hendak berucap lapan jam atau 10 jam di luar dari kawasan masjid, Beta tidak menghalangnya, itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun tidak, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika Majlis Perasmian Masjid An Nur Temasya, Glenmarie, Shah Alam, hari ini.

Turut berangkat, Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin murka dengan tindakan Sivarasa dan perkara itu dimaklumkan kepada Pengarah JAIS oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Munir Bani.

Dalam pada itu, baginda bertitah, nazir masjid, imam dan ahli jawatankuasa masjid dikehendaki lebih peka dan mengambil berat terhadap titah baginda yang tidak membenarkan masjid serta surau dijadikan tempat untuk berpolitik.

"Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah belah dan berpuak-puak.

"Beta memberi kuasa kepada nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid. Maka gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya.

"Jikalau ada di antara nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid yang hendak aktif berpolitik di masjid, Beta titahkan supaya berhenti daripada menjadi nazir, imam atau ahli jawatankuasa masjid dan serahkan tanggungjawab itu kepada orang lain," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 8:20 PM