MOHD Roslan memeriksa minyak masak dalam lori treler terbabit. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyita sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Batu 7, Jalan Labuk, dekat Sandakan selepas ia dipercayai terbabit menyeleweng bahan keperluan itu dengan mengeksportnya ke negara jiran.

Turut dirampas, 28.898 tan metrik minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM72,245.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, kegiatan itu dikesan selepas sebuah treler milik syarikat berkenaan ditahan di Pelabuhan Sandakan, Jumaat lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap treler terbabit menemui 17 tan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram dianggarkan bernilai RM42,500.

“Susulan penahanan lori itu, serbuan dibuat ke atas kilang berkenaan dan kami menemui 11.898 tan metrik minyak masak bernilai RM29,745.

“Kilang serta peralatannya disita untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 8:09 PM