KEADAAN bas ekspres yang terbabas pagi tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


BAS ekspres membawa 14 penumpang terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang pagi ini.

Dalam kejadian 1 pagi membabitkan bas, treler dan kenderaan pelbagai guna ( MPV) Toyota Estima itu, pemandu bas Nik Hassan Mahmud, 47, cedera di muka.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Beberapa penumpang bas cedera ringan manakala pemandu treler bersama kelindan dan pemandu serta penumpang MPV berkenaan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian berlaku ketika bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, bas itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler.

"Bas berkenaan kemudian terbabas masuk ke dalam gaung yang terletak di tepi jalan.

"MPV yang berada di belakang bas berkenaan turut berlanggar dengan treler berkenaan," katanya.

Menurutnya, pemandu bas mengalami kecederaan di muka dan dibawa ke HGM untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 11:58 AM