Laporan Harian Metro sebelum ini
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

AHLI Parlimen Subang, R Sivarasa akan mengutus surat peribadi kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menjelaskan situasi sebenar majlis di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, minggu lalu.

Beliau mendakwa, tiada ceramah politik atau agama diadakan pada majlis pemberian sumbangan kepada surau dan masjid di kawasan DUN Kota Damansara itu.

"Saya tidak memberi apa-apa ceramah khususnya ceramah politik pada malam itu di Masjid An-Nur. Perkara ini disalahertikan.

"Malah saya tidak hadir sebagai wakil Menteri Besar seperti yang dikatakan dalam beberapa laporan media. Saya juga tidak pada bila-bila masa pun diminta untuk mewakili beliau pada majlis seperti itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, beliau akan menulis surat peribadi kepada Tuanku untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Sultan Sharafuddin dilaporkan murka dengan tindakan Sivarasa itu yang dikatakan memasuki dan memberi ceramah di Masjid An-Nur Rabu lalu.

Perkara itu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani.

Justeru itu nazir masjid berkenaan boleh dikenakan tindakan gantung jawatan atau dipecat kerana membenarkan Sivarasa memberi ceramah dalam masjid.

Haris berkata, tindakan nazir serta penganjur itu seolah-olah tidak menghormati titah Sultan Selangor yang melarang ruang masjid digunakan untuk aktiviti politik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 10:42 PM