Ridhatul Rizki
ridhatulrizki@hmetro.com.my


“MELIHAT video itu, saya tak pasti sama ada ia selamat dimakan. Bagaimanapun, dalam masakan vegetarian Cina ada menggunakan bahan seakan-akan udang namun ia diperbuat daripada konjac (sejenis kanji) dan teksturnya seperti jeli.”

Demikian kata Pakar Pemakanan Persatuan Dietitian Malaysia, Thye Choong Jean mengenai video udang palsu yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Thye berkata, rupa udang dalam video terbabit juga berbeza daripada udang yang diperbuat daripada konjac.

Terdahulu, seorang lelaki mendedahkan terdapat udang palsu dalam video berdurasi 1 minit 30 saat yang tular di Facebook.

Menurutnya, udang segar akan bertukar kemerahan sebaik saja direbus sebaliknya udang palsu itu tidak bertukar warna, malah teksturnya juga lembik seperti jeli.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih belum menerima aduan rasmi jika udang palsu terbabit boleh didapati di pasaran.

Jurucakap KPDNKK Selangor berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut sebaik saja menerima aduan mengenai video terbabit.

"Buat masa ini, kami belum menerima sebarang aduan. Sebaik saja aduan rasmi diterima, kami akan jalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 9:37 PM
Rakaman daripada video viral mengenai udang palsu yang tersebar. FOTO ihsan pembaca