Ahmad Zahid bersalaman dengan kakitangan dan keluarga di bawah KDN termasuk orang awam pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Warga Kementerian Dalam Negeri peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussain Seremban 2. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan setakat ini tiga rakyat Malaysia terbunuh dalam pertempuran di bandar Marawi, Mindanao, Filipina.

Beliau berkata, dua rakyat Malaysia terbabit sudah dikenal pasti identitinya, namun seorang lagi masih belum dikenal pasti.

"Kerajaan masih menunggu perincian rakyat ketiga itu daripada pihak tentera Filipina," katanya pada sidang media di Program Penerapan Nilai Murni Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Hussain, Seremban 2, Seremban, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kumpulan pengganas (militan Daish) terbabit cuba membentuk kerajaan khalifah dan ia hendaklah ditolak oleh semua rakyat di rantau asia dan negara Islam lain.

"Jika tidak dibendung keganasan akan berlaku di mana saja pada bila-bila masa. Kita melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan kesiapsiagaan bagi menyekat kemasukan mereka ke negara ini," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan kepada 111 penerima terdiri daripada ibu tunggal dan anak yatim.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 8:42 PM