HISHAMMUDDIN (dua kanan) mengadakan sidang media sempena lawatan Menteri Pertahanan Arab Saudi ke Malaysia selepas mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan Kementerian Pertahanan. Turut hadir, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohammad Radzi (dua kiri); Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kiri). FOTO Zulfaddli Zulkifli
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


PUSAT Keamanan Antarabangsa King Salman bermula operasinya, hari ini selaras dengan hala tuju Malaysia untuk menangani isu ekstremisme dan kumpulan militan Daish.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pusat berkenaan yang patut dilancarkan secara rasminya esok oleh putera Raja Arab Saudi terpaksa ditunda akibat faktor tertentu.

Bagaimanapun, katanya, pusat itu di Kuala Lumpur akan mengumpulkan ilmuan, pakar risikan selain tenaga kerja Kementerian Pertahanan di rantau ini dalam usaha menangani isu ekstremisme dan keganasan melampau.

"Malaysia tidak akan terkecuali dari serangan kumpulan pengganas Daish dan kita tidak boleh mengambil ringan isu ini.

"Bagaimanapun, kita di landasan betul dengan memulakan operasi pusat itu hari ini dan membanteras naratif yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang radikal dan ekstremis secara berkesan hasil kerjasama semua pihak, " katanya pada sidang media selepas menyerahkan bubur lambuk kepada warga kerja Kementerian Pertahanan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 3:56 PM