Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


MEDIA Prima Berhad (Media Prima) peneraju kumpulan media bersepadu sepenuhnya di Malaysia meninjau pertumbuhan perolehan dalam segmen digital dan bukan tradisional menerusi inisiatif strategik perniagaan yang dilancarkan pada 2016 dan awal 2017.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri FD Iskandar berkata, kumpulan melancarkan beberapa inisiatif penting pada 2016 untuk meneroka perolehan baru dan pada masa sama menggabungkan penguasaan pasaran dalam perolehan pengiklanan teras.

“Pada 2016, kumpulan melancarkan beberapa kerjasama berasaskan ‘Perniagaan Kepada Pengguna’ seperti platform membeli-belah dari rumah, CJ Wow Shop, melakukan rombakan perkhidmatan langganan video dalam talian secara strim, Tonton, memperkenalkan permainan mudah alih dan aplikasi gaya hidup digital untuk pengguna mudah alih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bagi segmen media cetak pula, New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) akan terus mempertahankan perniagaan cetak tradisional.

“Pada masa sama NSTP melaksanakan inisiatif berterusan rasionalisasi kos manakala produk dan perkhidmatan digital yang dilancarkan pada 2016 seperti Full-A-Mark akan kekal dalam tempoh pra-matang.

“Platform digital NSTP dan berita dalam talian terus mencatatkan capaian signifikan kepada konsumer di Malaysia.

“Tiga portal dalam talian NSTP seperti, New Straits Times, MyMetro dan BH Online merekodkan pelawat unik berjumlah 18.3 juta sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 5:42 PM