Mariam ditemui lemas di dalam parit bersama basikalnya kira-kira 150 meter dari rumahnya di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, Tangkak, petang semalam. FOTO Hai Rozzaman Jalal
Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my


KEHILANGAN warga emas Mariam Sukon, 74, sejak Jumaat lalu terjawab selepas dia ditemui lemas di dalam parit bersama basikalnya kira-kira 150 meter dari rumahnya di Kampung Simpang 5 Darat dekat Bukit Gambir, Tangkak, petang semalam.

Mayat Mariam ditemui penduduk yang melalui kawasan itu kira-kira 5 petang selepas melihat basikal di dalam parit berhampiran kebun sayur di kampung itu.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam pada 5.10 petang mengenai penemuan mayat di dalam parit di TL119, Kampung Simpang 5 Darat.

Katanya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bukit Gambir ke lokasi dan didapati mayat wanita berada di dalam parit dan dihempap basikal yang dipercayai ditunggangnya.

Mohad Idris berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serom 8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 2:50 PM