MANGSA ditemui lemas dalam perigi berhampiran rumahnya. FOTO ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


WANITA ditemui lemas dalam perigi di rumahnya di Pekan Gurney, Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu mangsa yang dikenali sebagai Yep Mee Huong, 52, disedari sudah terjatuh ke dalam perigi oleh ahli keluarganya yang menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Pegawai Bomba Azmi Mohd Yusof berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada 7.40 pagi.

"Sebaik bomba tiba kami mendapati mangsa sudah berada di dalam perigi itu dan seorang anggota dikerahkan turun ke dalam perigi menggunakan tali untuk membawa keluar mangsa.

"Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit dan pasukan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 10:12 AM