SUASANA di dalam lapangan terbang selepas British Airways membatalkan semua penerbangan. FOTO ihsan Ian Small
Reuters

SYARIKAT Penerbangan British Airways hari ini berkata, ia membatalkan semua penerbangan keluarnya dari Lapangan Terbang Heathrow, London dan Gatwick selepas kegagalan sistem komputer.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, syarikat itu berkata: “Kami mengalami kegagalan sistem komputer yang teruk yang menyebabkan gangguan kepada operasi penerbangan kami di seluruh dunia.

“Terminal di Heathrow dan Gatwick kini terlalu sesak dan kami membatalkan semua penerbangan dari kedua-dua lapangan terbang itu sebelum jam 6 petang (1 pagi waktu Malaysia).

“Kerana itu, jangan datang ke lapangan terbang berkenaan.”

BA juga berkata, ia tidak menemui sebarang bukti serangan siber.

Sementara itu, penumpang pesawat menulis dalam Twitter, mereka tidak boleh mendaftar masuk atau menggunakan aplikasi syarikat penerbangan itu sementara yang lain terkandas di landasan.

“Kami di landasan ketika ini. Sudah beberapa jam. Tiada tawaran minuman. BA hanya menerima kad ketika ini, tidak wang tunai. Apa yang kami perlu lakukan?” tulis seorang pengguna, Julie Adie. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 9:32 PM