PANGLIMA Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor bersalaman dengan anggota Tentera Darat selepas Latihan Kuasa Tembakan Tentera Darat 2017 di Kem Syed Sirajuddin. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pertahanan Malaysia memantau rapi insiden serangan letupan bom di negara jiran iaitu di Bangkok, Thailand, Jakarta, Indonesia dan Mindanao, Filipina yang berlaku dalam tempoh seminggu ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Menteri Pertahanan dari ketiga-tiga negara terbabit iaitu Delfin Negrillo Lorenzana (Filipina), Prawit Wangsuwon (Thailand) dan Ryamizard Ryacudu (Indonesia) bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden itu.

"Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus bekerjasama dengan angkatan tentera dari ketiga-tiga negara terbabit bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di negara masing-masing termasuk berkongsi maklumat risikan.

"Pada masa yang sama, saya sudah mengarahkan ATM untuk meningkatkan kawalan keselamatan sempadan di seluruh negara berikutan insiden yang berlaku di ketiga-tiga negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, satu letupan bom berlaku di sebuah hospital di Bangkok, Thailand pada 23 Mei yang mencederakan 24 orang awam disusuli letupan bom di Kampung Melayu, Jakarta Timur, Indonesia yang meragut nyawa tiga anggota polis pada 24 Mei. Seterusnya insiden pertempuran antara kumpulan Militan dengan pihak tentera Filipina di Bandar Marawi, Mindanao, Filipina pada 24 Mei yang mengakibatkan 21 individu terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 5:21 PM