BARANGAN yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek.
myMetro

Kota Bharu: Sepasang suami isteri menyangka mereka kebal daripada undang-undang dan boleh hidup senang lenang dengan hasil kegiatan pecah rumah serta mencuri kenderaan yang dilakukan bersama seorang rakan sejak lima bulan lalu.

Namun kegiatan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa hingga membawa kepada penahanan ketiga-tiganya dalam serbuan di sebuah rumah di Kemahang, Tanah Merah, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, tiga suspek itu termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan jam 4.44 petang oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga hari ini (Sabtu) untuk siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Suspek utama lelaki berusia 34 tahun yang juga suami kepada suspek wanita Thailand berusia
31 tahun manakala rakan mereka seorang lelaki berusia 46 tahun sudah lama jadi buruan kerana terbabit dalam enam kes kecurian motosikal dan kereta di sekitar Tumpat.

“Suspek mengaku beroperasi sebelah malam dan sesekali pada siang hari untuk mencuri kenderaan, selain turut melakukan pecah masuk rumah penduduk.

“Kami membuat siasatan dan memburu mereka selepas menerima laporan daripada mangsa. Hasil risikan menemui mereka di Tanah Merah dan pada Rabu, serbuan dilakukan serta berjaya menahan ketiga-tiganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 3:04 AM