Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


“KEJADIAN itu di luar jangkaan dan tanggungjawab kami," kata Pengerusi kariah Masjid Simpang Enam Datuk Rafique Karim mengulas insiden Pegawai Penerangan kepada Ketua Menteri, Zaidi Ahmad ditampar seorang peserta himpunan aman di masjid itu, 2.30 petang hari ini.

Rafique berkata, sebarang perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali diadakan dalam masjid.

"Apa yang berlaku adalah di luar masjid dan ia bukan tanggungjawab jawatankuasa Masjid Simpang Enam.

"Ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa terutama polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang hari ini, Zaidi ditampar seorang peserta selepas dia melakukan provokasi terhadap Pengerusi Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin yang sedang menyampaikan ucapan.

Perhimpunan aman itu diadakan bagi membantah campur tangan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam isu fatwa.

Kejadian itu bagaimanapun dapat dileraikan orang ramai dan polis cawangan khas yang berada di luar masjid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 7:18 PM