Penduduk Islam di perkampungan miskin Melayu-Champa menerima bantuan makanan.
Mustapha menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kemiskinan umat Islam di perkampungan miskin Melayu-Champa Kemboja mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk di 15 kampung terpilih.

Ketuanya, Komander (B) Datuk Mustapha Ahmad Marican berada di Kemboja sehingga 2 Jun ini bagi memastikan umat Islam di negara terbabit mendapat bantuan sepanjang Ramadan ini.

“Bagi misi kemanusiaan, saya mengharungi perjalanan solo sejauh 800 kilometer (km) dari Kemboja hingga Sungai Mekong bagi menyampaikan sumbangan.

“Usaha ini bukan mudah tapi saya lakukannya demi misi kemanusiaan yang memberi manfaat kepada lebih 500 fakir miskin,” katanya, semalam.

Menurutnya, aktiviti itu berpusat di perkampungan kecil iaitu Kampung Pak Phau dan memerlukan lori merentas jalan tanah merah dan berlubang setiap hari.

“Walaupun susah, saya seronok melakukannya dan penduduk Islam di pedalaman Kemboja juga bersyukur kerana Ramadan mereka disempurnakan dengan bantuan yang meringankan beban.

“Saya terpanggil meneruskan tradisi Ramadan kali ini dengan mengagihkan sumbangan 15 kilogram (kg) beras, gula, minyak masak, susu tin, sardin dan air minuman jus untuk kegunaan Ramadan bagi setiap keluarga,” katanya.

Bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini berkata, kali pertama melihat kesusahan masyarakat Kemboja pada 1999 ketika berkhidmat dengan Wisma Putra.

“Suasana perkampungan itu mundur 30 tahun terkebelakang daripada negara kita menyebabkan masyarakat setempat diselubungi kemiskinan seperti masyarakat Melayu-Malaysia pada zaman penjajahan Jepun.

“Berikutan itu saya meneruskan misi kemanusiaan di situ, malah membantu membina hampir 2,000 perigi dan lima masjid serta dua sekolah agama,” katanya.

Katanya, program bantuan kemanusiaan sejagat itu mendapat pengiktirafan kerajaan Kemboja, apabila menerima Anugerah Emas Kelas Satu pada 2004 dan Anugerah Doktor Falsafah Undang-Undang pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 5:30 AM