Reka bentuk kompleks Uptown Shah Alam baru berkonsep Bugis Moden dijangka siap Oktober 2019. - Foto FAIZ ANUAR
BERNAMA

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntuk RM30 juta bagi membina semula Uptown Shah Alam di Seksyen 24 di sini, yang kini beroperasi di tapak sementara berikutan kebakaran membabitkan 182 gerai tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata, dua blok bangunan dua tingkat berkonsep seni bina 'Bugis Moden' akan dibina mulai Oktober ini dan dijangka siap Oktober 2019.

Beliau berkata pembinaan kompleks Uptown Shah Alam yang baru itu menekankan ciri-ciri keselamatan dengan kemudahan menyeluruh serta ruang perniagaan lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung.

"Kompleks berkenaan akan menempatkan 460 unit gerai untuk perniagaan selain penyediaan kemudahan awam seperti tandas dan surau yang selesa, pentas, pejabat, lot promosi dan taman.

"Sebanyak 519 lot letak kenderaan yang kondusif juga disediakan," katanya berucap pada majlis pecah tanah kompleks itu di Shah Alam, hari ini.

Upacara pecah tanah itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

PKNS mengambil alih pengurusan Uptown Shah Alam pada Ogos 2015, yang ketika itu mempunyai 442 unit gerai dalam blok A dan B sebelum 182 unit gerai dalam blok B musnah terbakar pada 15 Oktober 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 10:39 PM