Kemalangan yang mengorbankan kelindan treler di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat Sky Way, Gohtong Jaya, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my


KELINDAN treler maut manakala pemandunya parah selepas kenderaan yang membawa muatan papan itu terbabas sebelum terbalik di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat Sky Way, Gohtong Jaya jam 10.00 pagi hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang dalam perjalanan dari Bentong, Pahang ke Batang Kali mengalami masalah brek ketika menuruni laluan berselekoh.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Rosdi Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.08 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi.

"Treler ini dipercayai mengalami masalah brek ketika melalui selekoh tajam sebelum terbabas lalu terbalik menyebabkan pemandu dan kelindan tersepit.

"Pemandu parah manakala kelindannya maut di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 2:52 PM