PENGUAT kuasa KPDNKK melakukan pemeriksaan tudung tiruan di sebuah pusat pemborong semalam.
Siti Nor Amirah Abu Bakar
am@hmetro.com.my


Klang: Padah menjual tudung palsu berjenama Ariani, dua premis di sebuah pusat pemborong, di sini, diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri semalam.

Bertindak atas maklumat pemilik cap dagang, dua premis berkenaan diserbu jam 12.30 tengah hari.

Ketua Sub Unit Pematuhan Siasatan dan Aduan KPDNKK Selangor, Mohd Zarif Anwar Mohd Ali berkata, pihaknya merampas sejumlah tudung tiruan berjenama Ariani.

“Kami bersama wakil pengadu menyerbu dua premis berkenaan.

“Selepas meneliti barangan itu, wakil Ariani mengesahkan premis itu menjual tudung tiruan milik mereka,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya merampas barangan dianggarkan bernilai RM12,000.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Katanya, peminat barangan berjenama disaran membeli produk asli sebagai tanda sokongan terhadap jenama diminati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 1:35 AM