Muhammad Sabtu mendengar penerangan mengenai Pengendalian RPG di Lapang Sasar Tinagat, IPD Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


TIADA kumpulan bersenjata melakukan pencerobohan terbaru di Sabah termasuk di Felda Sahabat di Lahad Datu, seperti dilaporkan pada 14 Mei lalu.

Pengarah keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, selepas siasatan terperinci dan pemeriksaan di lokasi dimaksudkan, pasukan keselamatan tidak menemui sebarang tanda pencerobohan kumpulan bersenjata di kawasan Felda Sahabat.

"Dakwaan itu hanyalah maklumat sebelum disahkan. Selepas siasatan dan pemeriksaan di lapangan, tiada kumpulan atau musuh yang dimaksudkan menceroboh ke negeri ini.

"Kita memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) berada dalam keadaan terkawal dan selamat," katanya selepas Program Pengendalian Roket Pelancar Grenad (RPG) di Lapang Sasar Tinagat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dekat Tawau, hari ini.

Hadir sama, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Pada 14 Mei lalu, polis menerima laporan daripada pekerja ladang berusia 52 tahun yang mendakwa terserempak lima individu berpakaian celoreng dan lengkap bersenjata berhampiran sungai di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Sahabat 2, Lahad Datu pada 30 April lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan boleh dikaitkan dengan kehadiran pengganas, selepas beberapa hari pasukan keselamatan menggeledah kawasan ladang kelapa sawit terbabit.

Polis juga mempersoalkan tindakan pekerja ladang itu yang hanya membuat laporan dua minggu selepas dia mendakwa terserempak dengan kumpulan bersenjata terbabit.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata, program pengendalian RPG itu adalah latihan bagi pendedahan kepada anggota terutama unit infantri yang akan menjalankan tugas menjaga keselamatan negara bukan saja di perairan malah di daratan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 3:26 PM