Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pembantu kerani di bahagian pemasaran dan jualan, Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH) selepas dipercayai terbabit dengan perbuatan meminta dan menerima rasuah.

Sumber berkata, lelaki berusia 40 tahun itu disyaki meminta dan menerima wang rasuah dianggarkan berjumlah RM86,000 daripada beberapa firma guaman sebagai upah bagi memastikan mereka dilantik pihak bank untuk menguruskan penyediaan 'Perjanjian Pinjaman' untuk pembelian hartanah di bawah PJH.

“Suspek meletak jawatan minggu lalu dipercayai untuk berurusan dengan pembeli yang berjaya mendapat tawaran pinjaman bank dan meminta wang rasuah.

“Lelaki itu dipercayai meminta bayaran sebanyak 55 peratus daripada ‘€˜principal legal fee’€™ yang dikenakan kepada pembeli sebagai upahnya.

"Bagaimanapun, SPRM percaya suspek terbabit perbuatan itu sejak beberapa tahun lalu sebelum meletakkan jawatan minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan suspek akan direman esok untuk membantu siasatan mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 7:36 PM