Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


PERSATUAN Nelayan Kawasan Tanjung Sedili menggunakan lebih 20 bot membabitkan hampir 70 nelayan bagi mengesan sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang di kedudukan 29 batu nautika, Timur Tanjung Sedili Besar, ketika mengusir 10 bot pukat tunda Vietnam, malam semalam.

Pengerusinya, Majid Abdul Rahman berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu 8 pagi ini oleh Jabatan Laut dan segera menghubungi lapan bot pukat tunda laut dalam yang berada di sekitar Pulau Pemanggil dan Pulau Aur untuk memberikan bantuan.

"Pada masa sama, kami menghubungi bot nelayan persisir pantai yang berada di sekitar 10 batu nautika dari Perairan Sedili untuk turut mencari dan menghampiri mana-mana objek mencurigakan.

"Kawasan pencarian terbahagi kepada zon selatan, utara, barat dan timur Pulau Aur serta menghubungi semua persatuan nelayan untuk memberikan bantuan," katanya ketika ditemui di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) daerah Sedili, Johor, hari ini.

Menurutnya, usaha itu adalah inisiatif persatuan bagi membantu mengesan anak kapal yang hilang selepas bot dinaiki terputus hubungan dengan KD Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 3:27 PM