SEBAHAGIAN pelacur warga asing yang ditahan Imigresen Kelantan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya membenarkan pelanggan dikenali mendapatkan perkhidmatan antara taktik digunakan sindiket pelacuran warga asing didalangi warga tempatan di sekitar hotel di bandar ini untuk mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kegiatan tidak bermoral itu terbongkar selepas JIM Kelantan menahan 22 individu termasuk 18 wanita warga asing dan empat lelaki tempatan dalam serbuan di empat hotel, di sini, antara 9.45 malam hingga 5.30 pagi, semalam.

Katanya, pihaknya berjaya mengesan aktiviti tidak bermoral menerusi risikan dan pemantauan.

“Modus operandi sindiket sangat ketat dengan kawalan dan hanya membenarkan pelanggan dikenali sahaja memasuki hotel tertentu termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Mereka berbuat demikian bagi mengelakkan kegiatan dikesan pihak berkuasa. Namun, pemantauan dan intipan berterusan JIM terhadap pergerakan wanita warga asing yang dalam keadaan mencurigakan berjaya membongkar aktiviti perdagangan tidak bermoral di beberapa hotel sekitar bandar ini.

“Serbuan menerusi Ops Gegar itu berjaya melumpuhkan sindiket pelacuran wanita warga asing iaitu 16 warga Thailand, masing-masing seorang wanita warga Indonesia dan Vietnam yang berusia antara 20-an hingga 30-an,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 39(b) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta ditahan mengikut Seksyen 51(5) (a) dan Seksyen 51(5)(b) akta yang sama.

Katanya, pihaknya akan terus melakukan operasi untuk mengekang kegiatan pelacuran di negeri ini dan memburu dalang yang mengekploitasikan kehadiran warga asing di negara ini.

“Kita juga akan terus melakukan operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan kerjasama JIM dari negeri lain dan ibu pejabat untuk membanteras kegiatan jenayah terancang demi keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 1:41 PM