Sebahagian pelacur yang ditahan Jabatan Imigresen Kelantan di empat hotel, hari ini. FOTO ihsan Imigresen
Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my


SERAMAI 18 pelacur warga asing dan empat lelaki tempatan ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dalam serbuan di empat hotel di Kota Bharu, hari ini.

Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam Op Gegar antara 9.45 malam hingga 5.30 pagi, hari ini.

Katanya, wanita itu termasuk 16 warga Thailand dan masing-masing seorang Indonesia serta Vietnam.

"Kegiatan pelacuran itu dijalankan di beberapa hotel yang dikawal ketat dengan memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya membenarkan orang dikenali saja memasuki premis.

"Kita berjaya menghidu aktiviti tidak bermoral oleh sindiket pelacuran itu menerusi risikan dan pemantauan sebelum serbuan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 39(b) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta ditahan mengikut Seksyen 51(5)(a) dan Seksyen 51(5)(b) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 6:42 PM