Proton Saga dinaiki mangsa remuk teruk selepas merempuh pokok di pembahagi jalan di Jalan Coastal berhampiran Sutera Harbour, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


LELAKI berusia 40 tahun maut manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh pokok di pembahagi jalan di Jalan Coastal berhampiran Sutera Harbour, dekat Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.40 pagi itu, Amiljon Musid, 40, yang memandu Proton Saga meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami manakala penumpang hadapan, Karangan Juhuri, 51, parah di bahu kanan serta menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga itu dari arah pusat bandar raya menuju ke Kepayan.

"Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa terbabas dan terlanggar pokok di tengah pembahagi jalan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia oleh doktor dari HQE manakala penumpang hadapan parah di bahu kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 11:44 AM