HUSSIN
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS), melalui kajiannya mendapati 1.5 juta umat Islam di negeri itu wajib mengeluarkan zakat tahun ini berbanding 267,000 jumlah pembayar zakat yang berdaftar tahun lalu.

Kajian juga mendapati sebahagian besar daripadanya adalah generasi muda berusia 21 tahun hingga 30 tahun dan mereka menyatakan masih belum layak untuk mengeluarkan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hussin Mohd Ali berkata, daripada 1.5 juta umat Islam itu, sebahagian besarnya juga adalah generasi muda yang baru bekerja dan menganggap itu bukan tanggungjawab mereka lagi.

“Pendapat mereka mengenai tidak perlu membayar zakat itu adalah satu kesilapan. Kita akan pastikan segala usaha dibuat bagi memberi kesedaran, di samping usaha mencapai sasaran kutipan RM700 juta tahun ini.

“Oleh itu, kita mencadangkan orang ramai supaya melayari laman sesawang LZS dan memasukkan jumlah pendapatan serta tanggungan dan kiraan zakat akan dilakukan secara automatik.

“Selepas kiraan, ada yang perlu membayar RM10, RM20 dan itu adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan,” katanya ketika ditemui pada majlis Kasihku Zakat Selangor, semalam.

Hussin berkata, program Kasihku Zakat Selangor kali kedua dilaksanakan bagi menggalakkan pembayar zakat korporat dan individu yang mendapat agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa.

“Ia diagihkan semula kepada asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS termasuk asnaf fisabilillah melalui program yang diatur oleh LZS sendiri berbanding sebelum ini di mana badan korporat atau individu itu sendiri melakukannya.

“Ia juga bertujuan bagi mengelak daripada dikhuatiri tidak mematuhi garis panduan agihan atau tidak patuh syariah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan kutipan RM10 juta hingga akhir tahun ini melalui Kasihku Zakat Selangor berbanding RM1.6 juta yang diperoleh setakat ini membabitkan 10 badan korporat dan individu.

Menurutnya, wang zakat berkenaan akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu bantuan pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:36 AM