MOHD Saifulrizam dibawa keluar dari mahkamah sesyen, semalam.
myMetro

Kota Bharu: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan sembilan sebatan ke atas seorang buruh kerana melakukan rompakan bersenjata, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Nazri Ismail selepas tertuduh, Mohd Saifulrizam Mat Alias, 31, dari Pasir Puteh mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua lagi lelaki yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dan menggunakan pisau terhadap seorang warga asing di jalan tali air Kampung Lepah Selising, Pasir Puteh, jam 3 petang, 9 Disember 2016.

Tertuduh turut mengambil wang tunai berjumlah RM493, telefon bimbit jenama OPPO warna putih dan telefon bimbit Samsung dengan nilai keseluruhan kerugian adalah RM1,000.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh diseksa dengan penjara hingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 4:46 AM