Jengkaut yang menghempap Kok Ming sehingga dia meninggal dunia. FOTO ihsan bomba
Fardy Bungga
am@hmetro.com.my

PENGENDALI jentera maut dihempap jengkaut dalam kejadian di pusat pembinaan di Jalan Kapas, Bukit Bandaraya, di sini, kira-kira jam 4.30 petang hari ini.

Mangsa Tan Kok Ming, 31, dikatakan berada di bahagian bawah pembinaan untuk meninjau struktur tanah sebelum melakukan kerja-kerja mengorek tanah.

Bagaimanapun, jentera itu tiba-tiba jatuh tergelincir setinggi kira-kira lima meter dari tebing di pusat pembinaan berkenaan dan menghempap mangsa.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian pada jam 4.52 petang.

Katanya, setibanya dilokasi, mangsa didapati masih berada di bawah jentera jengkaut berkenaan dan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan serta merta.

"Sebaik berjaya dikeluarkan, pasukan paramedik yang tiba dilokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 8:12 PM