Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

CYBERSECURITY Malaysia menerima satu laporan daripada institusi akademi negara ini berhubung insiden serangan 'ransomware wannacry' dan percaya lebih banyak serangan berlaku tetapi tidak dilaporkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, pentadbir sistem di semua organisasi diingatkan supaya berwaspada dan meneruskan tindakan yang perlu untuk melindungi dan menjamin infrastruktur rangkaian mereka daripada terjejas.

Menurutnya, pentadbir sistem dan pengguna diingatkan tidak memetik pautan yang dihantar bersama e-mel atau fail yang mencurigakan.

"Organisasi dan pengguna individu perlu melaporkan apa juga serangan ransomware kepada CyberSecurity Malaysia dengan menghubungi pusat bantuan Cyber999," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, serangan ransomware bukan ancaman siber yang baru kerana sebelum ini pernah menerima laporan berkaitan Cryptolocker, CryptoWall, CBT Locker, Teslacrypt Locky dan beberapa jenis ransomware lagi. Ia disasarkan kepada pengguna individu dan perniagaan.

Beliau berkata, ia adalah perisian berniat jahat yang menjangkiti komputer, mengunci dan encrypt fail di dalam komputer serta menghalang akses pengguna kepada sistem komputer sehingga wang tebusan dibayar kepada penghantar serangan untuk membuka kunci.

"Rakyat Malaysia masih tidak sedar tentang kewujudan ransomware. Oleh itu, mereka mungkin tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang ancaman ini.

"Media sosial mula menularkan mesej palsu berkaitan dengan isu ‘ransomware wannacry’. Kami mencadangkan agar orang awam mendapatkan pengesahan ke atas maklumat yang diterima dari organisasi rasmi bagi mengesahkan kesahihan maklumat sebelum berkongsi melalui media sosial," katanya.

‘ransomware wannacry' yang melanda dunia pada 12 Mei 2017 dengan lebih 100 negara terkena serangan siber ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 7:44 PM