Penceramah yang ditahan di sebuah masjid di Puchong malam semalam. FOTO ihsan JAIS
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang penceramah berusia 40-an di sebuah masjid di Puchong malam semalam, kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, penceramah itu adalah bekas pemegang tauliah negeri itu yang tamat pada 2011 dan tidak memohon untuk menyambung tauliah berkenaan.

Beliau berkata, penahanan itu dilakukan Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor Tahun 2003 Pindaan 2015 kerana disyaki mengajar agama Islam atau mengajar apa-apa mengenai Islam tanpa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan berterusan JAIS ini adalah amaran kepada semua ahli jawatankuasa masjid dan surau yang dengan sengaja mengingkari peraturan dan undang-undang berkaitan pengurusan masjid dan surau.

"JAIS menasihati kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau memandang serius tindakan JAIS ini dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang berkaitan pengurusan masjid dan surau bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian jemaah," katanya di sini hari ini.

Sehingga kini lima penceramah sudah ditahan iaitu seorang pada malam Sabtu lalu di sebuah surau di Seksyen 8, Shah Alam, tiga penceramah pada malam kelmarin di Rawang dan di Puchong malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 6:58 PM