HASNAN (tengah) bersama  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran (dua kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis dadah seperti heroin, ketamin, pil ecstacy dan Eramin 5 dengan nilai rampasan lebih RM415,000 dalam serbuan berasingan di Parit Buntar dan Manjung, Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, mereka yang ditahan berusia antara 29 hingga 52 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Manjung, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di pusat hiburan di bandar Seri Manjung pada 2.10 pagi.

"Pemeriksaan lanjut menemui 16,000 biji Eramin 5, 2,100 biji Esctacy dan ketamin 446.54 gram.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saring air kencing mendapati negatif dadah," katanya.

Hasnan berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk tujuan hiburan dan nilai rampasan adalah RM333,594.30.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada kira-kira 4 petang hari sama, Hasnan berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan BSJN Daerah Kerian diketuai Timbalan JSJN Perak Superintendan Abdul Latiff Mehat menahan lelaki berusia 52 tahun di tepi jalan pekan Parit Buntar disyaki melakukan urus niaga membabitkan dadah.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui dadah heroin sejumlah 3,211 gram.

"Suspek yang berkerja sebagai pencuci kereta didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

"Sebuah motosikal jenis Modenas dipercayai milik suspek turut disita," katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah lebih RM80,275 dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek adalah negatif dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari sehingga 21 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 2:52 PM