DR Hassan (dua dari kiri) beramah mesra bersama Mohd Nasir (tengah) yang mewakili anaknya, Mohd Arif Syazrel pelajar jurusan Diploma Sains Geometik (Sistem Maklumat Geografi) yang meninggal dunia dalam kemalangan.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kangar: Seorang bapa terharu dan sebak ketika menerima Anugerah Anumerta mewakili anaknya yang meninggal dunia pada Istiadat Konvokesyen ke-86 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, di sini, semalam.

Mohd Nasir Noorshan, 59, mewakili anaknya Mohd Arif Syazrel Mohd Nasir, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika menuju ke tempat latihan industri pada 10 Februari tahun lalu di Bangi, Selangor untuk menerima Anugerah Anumerta dalam jurusan Diploma Sains Geomatik (Sistem Maklumat Geografi).

Mohd Nasir berkata, beliau berbangga dengan Mohd Arif Syazrel meskipun anaknya itu sudah tiada untuk meraikan hari penganugerahan bersama keluarganya itu.

“Saya berbangga dengan arwah (Mohd Arif Syazrel) meskipun dia belum sempat menamatkan pengajian sepenuhnya.

“Bagaimanapun, takdir menentukan segalanya dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Mohd Nasri dan isteri, Norma Nik, 55, ditemui selepas menerima Anugerah Anumerta disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said pada Istiadat Konvokesyen ke-86 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, di sini, semalam.

Menurut Mohd Nasir, anak bongsu daripada empat beradik itu sudah merancang perjalanan pendidikan seterusnya di peringkat ijazah sarjana muda.

“Memang kami terkilan kerana Mohd Arif ada berkongsi dengan kami mengenai perancangannya untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kulinari.

“Ini kerana minatnya lebih menjurus dalam bidang masakan dan merancang untuk menukar fakulti pengajiannya jika dapat menyambung pengajian,” katanya.

Sementara itu, pada konvokesyen itu seramai 1,301 graduan menerima anugerah dalam bidang masing-masing dengan 563 graduan di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 738 graduan di peringkat Diploma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 4:39 AM